Jumaat, 22 Oktober 2010


TAJUK:
SEJARAH PENUBUHAN DAN KEGIATAN MASJID MAHMUDIAH, BUKIT KETERI, PERLIS


DISEDIAKAN UNTUK:
USTAZ ABD AZIZ BIN HARJIN
PENSYARAH CTU551

DISEDIAKAN OLEH:
NOR AZREEN BINTI MOHD ANUA
NO. MATRIK:
2010442596

KUMPULAN:
ASB1Ag

PROGRAM:
SARJANA MUDA SAINS (KEPUJIAN) KIMIA GUNAAN

TARIKH HANTAR:
23 OKTOBER 2010





ISI KANDUNGAN

1) PENGHARGAAN
2) ABSTRAK
3) PENDAHULUAN
4) KONSEP
5) HURAIAN
  - SEJARAH PENUBUHAN
  - BILANGAN JEMAAH
  - PEGAWAI DAN AHLI JAWATANKUASA MASJID
  - AKTIVITI
  - KEMUDAHAN DI MASJID
  - PENDAPATAN MASJID
  - MASALAH DAN PENYELESAIANNYA
6) CADANGAN
7) PENUTUP
8) RUJUKAN
9) LAMPIRAN



PENGHARGAAN

Syukur kepada Allah SWT kerana saya dapat menyiapkan tugasan CTU551 ini. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ustaz Abd Aziz Harjin kerana memberikan tunjuk ajar dan ilmu yang sangat berguna kepada saya dan rakan-rakan. Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Pak Aziz, imam 2 Masjid Mahmudiah kerana sudi ditemuramah oleh saya dan memberikan informasi-informasi yang sangat berguna untuk menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga kepada saudara-mara dan rakan-rakan yang membantu dan memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung.


ABSTRAK

Masjid merupakan tempat yang mulia di mana umat Islam menunaikan ibadat kepada Yang Maha Esa. Masjid dapat dijumpai di serata tempat dengan pelbagai reka bentuk yang menjadi lambang identiti sesuatu bangsa atau kaum dan menjadi medan penyatuan umat Islam di sesuatu kawasan tersebut. Dengan menyelidiki sejarah terbinanya sesuatu masjid itu menjadikan kita lebih menghargai masjid itu sendiri sebagai Rumah Allah. Di samping itu, pelbagai aktiviti dan program dijalankan oleh ahli jawatankuasa kariah masjid untuk mengimarahkan masjid dan menjadikan masjid sebagai satu tempat yang sentiasa dan patut disinggahi oleh umat Islam. Masjid menjadi institusi penting dalam masyarakat untuk memupuk perpaduan dan semangat cintakan islam dalam kalangan umatnya.



PENDAHULUAN
Untuk tugasan CTU551 ini saya memilih tajuk “sejarah penubuhan dan kegiatan masjid kariah anda”. Masjid yang saya pilih ialah Masjid Mahmudiah yang terletak di kampung saya iaitu di Bukit Keteri. Tujuan tugasan ini adalah untuk mengetahui tentang sejarah penubuhan dan kegiatan Masjid Mahmudiah. Selain itu, tugasan ini juga dapat mendekatkan diri saya kepada pegawai-pegawai masjid yang menjadi tulang belakang kepada segala aktiviti dan program yang dijalankan di masjid ini.


KONSEP

Istilah masjid berasal daripada perkataan ‘sajada’ yang membawa maksud sujud. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa masjid ialah ‘tempat bersujud’. Masjid juga mambawa makna sebagai tempat menunaikan solat atau tempat untuk beribadat bagi umat Islam. Kini, masjid menjadi pusat kebudayaan, muamalat, perkembangan dakwah Islamiah serta pusat aktiviti umat Islam di serata dunia.


HURAIAN
*Sejarah Penubuhan*
Masjid Mahmudiah ini terletak di Bukit Keteri, Chuping, Perlis. Diberi nama Mahmudiah sempena nama pengasas masjid ini iaitu Mahmud. Masjid ini mula dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung pada tahun 1964 dengan sumbangan oleh penduduk kampung yang bermurah hati pada waktu itu. Imam masjid pada waktu itu ialah Hj Yunus Bin Othman. Seterusnya masjid ini diubah suai pada tahun 1968 supaya dapat memberi keselesaan kepada para jemaah. Pada tahun 2002, masjid ini dibina di tapak yang lebih lapang dan luas yang menelan belanja sebanyak 1.8 juta Ringgit Malaysia dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perlis. Masjid baru ini berkeluasan 5 relung atau 2.5 ekar dan terletak dihadapan masjid yang lama. Kapasiti masjid ini adalah di antara 1000 hingga 1300 jemaah.

Masjid Mahmudiah yang baru

 *Bilangan Jemaah*
Kebiasaanya, bilangan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid ini ketika solat fardhu ialah lebih kurang 30 orang muslimin. Pada waktu solat jumaat pula dianggarkan mencecah 1100 orang muslimin. Raja Perlis juga pernah datang untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid mahmudiah ini.

Keadaan di dalam masjid

*Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid*
Masjid ini mempunyai 7 orang pegawai masjid iaitu imam 1, imam 2, bilal 1, bilal 2, tok siak 1, tok siak 2 dan tukang kebun. Pegawai-pegawai masjid ini adalah tetap dan akan ditukar sekiranya mereka sendiri yang meletakkan jawatan. Ketujuh-tujuh orang pegawai masjid ini secara automatik akan menjadi ahli jawatankuasa tertinggi masjid. Perlantikan ahli jawatankuasa tertinggi masjid ini adalah setiap 2 tahun sekali.

Senarai pegawai Masjid Mahmudiah:
Imam 1: Hj Ahmad bin Mohd Yunus
Imam 2: Hj Aziz bin Man
Bilal 1: Hj Ali bin Man
Bilal 2: Hj Zainon bin Omar
Tok Siak 1: Hj Mohd Ali bin Puteh
Tok Siak 2: En Mat Akhir bin Mat Din
Tukang Kebun: En Md Salleh bin Md Saman

Jawatankuasa Kariah Masjid Mahmudiah bagi Penggal 2010-2011:
Pengerusi: Hj Ahmad bin Mohd Yunus
Timbalan Pengerusi: Hj Aziz bin Man
Setiausaha: Hj Sazali bin Halim
Timbalan Setiausaha: En Solleh bin Talib
Bendahari: Hj Othman bin Akob
AJK: 1) Hj Zainon bin Omar
          2) Hj Ali bin Man
          3) En Md Salleh bin Md Saman
          4) En Nor Halim bin Ismail
          5) Hj Mohd Ali bin Puteh
          6) En Mat Akhir bin Mat Din
          7) En Saidon bin Dhaman
          8) En Sabri bin Bakar
          9) En Mohd Rohaizan bin Mohd Fadzil
         10) Pn Hjh Ashurah binti Mat Hashim

10 orang AJK ini dibahagikan kepada 6 biro yang terdiri daripada biro dakwah dan kemasyarakatan, biro ekonomi dan kebajikan, biro informasi dan teknologi, biro pembangunan masjid, biro wanita dan biro belia. Setiap biro ini mempunyai bidang tugas masing-masing.

Bidang Tugas Biro-Biro Jawatankuasa Kariah Masjid
1)    Biro Dakwah dan Kemasyarakatan
- Merancang dan melaksanakan aktiviti keilmuan dan dakwah. Contohnya kelas pengajian, ceramah, forum, diskusi dan sebagainya.
- Merancang dan mengadakan kursus-kursus berbentuk ilmiah atau kemasyarakatan seperti kursus pengurusan jenazah, kursus menjahit dan sebagainya.
- Mengadakan program kemasyarakatan seperti gotong-royong, membantu fakir miskin dan sebagainya.

2)    Biro Ekonomi dan Kebajikan
- Merancang aktiviti yang membantu menjana pendapatan masjid.
- Memelihara serta peka kepada kebajikan anak kariah terutama dari segi kehidupan mereka.
- Mengemaskini data-data anak kariah seperti maklumat anak-anak yatim dan sebagainya.

3)    Biro informasi dan teknologi
- Mengawal selia dan mengemaskini papan kenyataan masjid.
- Membantu meningkatkan penggunaan ICT di masjid.
- Menjadi Pegawai Penerangan atau Pegawai Perhubungan Awam bagi pihak masjid.
- Membantu Pengerusi atau Imam mengumumkan sesuatu arahan atau iklan atau maklumat kepada anak kariah.

4)    Biro pembangunan masjid
- Merancang pembangunan prasarana masjid.
- Menguruskan sebarang kerosakan masjid dengan pihak tertentu.
- Mencari sumber kewangan bagi membaiki dan mengindahkan persekitaran luaran dan dalaman masjid.

5)    Biro wanita
- Merancang dan mengadakan pelbagai aktiviti khusus untuk kaum wanita.
- Menjaga kebajikan kaum wanita dalam kalangan anak kariah.

6)    Biro belia
- Merancang dan mengadakan pelbagai aktiviti keilmuan khusus untuk remaja dan para belia.
- Mewujudkan jalinan kerjasama yang baik antara belia dan jawatankuasa masjid.
- Menjalinkan hubungan dengan NGO atau badan-badan belia di dalam negeri Perlis.

*Aktiviti*
Masjid ini diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun. Pada setiap malam antara maghrib dan isyak terdapat kuliah maghrib atau ceramah atau kelas yang berlainan. Pada hari ahad malam isnin ialah kuliah yang membincangkan hal-hal fiqah oleh Ustaz Abu Hassan bin Ahmad dari Jabatan Hel Ehwal Agama Islam Perlis. Pada hari isnin malam selasa ialah kelas tajwid oleh Ustaz Ahmad bin Bakar. Pada hari selasa malam rabu pula ialah pemahaman Al-Quran oleh Ustaz Aziz bin Man. Seterusnya pada hari rabu malam khamis ialah ceramah berkaitan tafsir Al-Quran oleh Ustaz Abdullah bin Md Ali. Pada hari khamis malam jumaat pula diadakan bacaan surah Yaasin dan tahlil. Akhir sekali ialah pada hari jumaat malam sabtu yang membincangkan hal isu semasa oleh Ustaz Abdullah bin Hashim. Pihak jawatankuasa juga ada menjemput penceramah jemputan untuk memberikan ceramah dan berkongsi ilmu dengan para jemaah masjid. Penceramah jemputan ini biasanya dijemput setiap 2 atau 3 bulan sekali. Penceramah jemputan ini mungkin dari dalam negeri Perlis atau dari luar negeri Perlis.
Di samping itu, antara aktiviti lain yang dijalankan di Masjid mahmudiah ini ialah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan kawasan tanah perkuburan yang terletak di belakang masjid ini. Aktiviti gotong-royong ini kebiasaannya dijalankan pada setiap 2 atau 3 bulan sekali oleh penduduk setempat. Pihak masjid juga ada mengadakan ceramah khas dan sambutan sempena hari-hari kebesaran Islam seperti pada Awal Muharam, Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran, Nisfu Syaaban dan sebagainya. Pada setiap bulan Ramadhan pula ada disediakan juadah untuk bersahur tetapi bukan pada setiap hari dalam bulan Ramadhan. Pihak masjid juga akan menyediakan juadah berbuka puasa pada setiap hari kepada jemaah yang hadir untuk berbuka puasa di masjid di mana juadah tersebut akan disediakan oleh ahli jawatankuasa yang terlibat. Seperti biasa pada sebelah malam dalam bulan Ramadhan akan diadakan solat sunat  terawih dan solat sunat witir secara berjemaah selepas solat fardhu isyak. Selepas menunaikan solat sunat terawih dan witir, akan ada sedikit moreh di mana ianya atas sumbangan peribadi jemaah. Kebiasaanya pada bulan Ramadhan akan ada individu-individu yang bermurah hati yang ingin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan fakir miskin yang tinggal di kawasan Kampung Bukit Keteri ini. Majlis sumbangan ini akan diadakan di Masjid Mahmudiah. Solat sunat hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha juga diadakan secara berjemaah di masjid apabila tibanya 1 Syawal dan 10 Zulhijjah.
Pada setiap tahun juga akan diadakan kursus pengurusan jenazah kepada penduduk kampung yang berminat di mana ahli jawatankuasa kariah masjid akan menjemput ustaz yang berkebolehan dalam bidang pengurusan jenazah untuk memberikan ceramah dan sekali gus membuat amali supaya peserta yang terlibat dalam kursus ini akan dapat memahami dengan lebih jelas, terang dan nyata dalam hal-hal berkaitan pengurusan jenazah ini. Kursus ini tidak terhad kepada satu jumlah peserta tetapi terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat tanpa dikenakan bayaran.

Kawasan tanah perkuburan yang terletak di belakang masjid

*Kemudahan di Masjid*

Al-Quran dan rehal yang
disediakan di masjid ini
Seterusnya, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di Masjid Mahmudiah ini. Antaranya ialah Al-Quran, rehal, sejadah, kitab-kitab agama, tempat mengambil wudhu', tandas, tempat memandikan jenazah serta keranda, kerusi dan meja dan juga pinggan-mangkuk. Kemudahan-kemudahan yang disediakan di masjid ini boleh di pinjam oleh mana-mana individu asalkan mendapat kebenaran daripada ahli jawatankuasa kariah masjid. Sebagai contoh, ada di antara penduduk kampung yang ingin menggunakan pinggan-mangkuk masjid untuk mengadakan kenduri dan sebagainya tetapi akan dikenakan sedikit bayaran. Masjid ini juga mempunyai kawasan tempat meletak kenderaan yang sangat luas di mana ianya memberi keselesaan kepada para pengunjung dan jemaah yang hadir.

Tempat memandikan jenazah




Tandas masjid









Tempat mengambil wudhu'

*Pendapatan Masjid*
Pendapatan bulanan masjid adalah lebih kurang Rm1000 melalui tabung masjid atas sumbangan para jemaah. Duit ini akan digunakan untuk membaiki sebarang kerosakan pada kemudahan yang disediakan di masjid. Yang selebihnya akan dimasukkan ke dalam akaun bank masjid dan akan digunakan sekiranya ada aktiviti yang ingin dijalankan berdasarkan bajet yang disediakan oleh bendahari.

*Masalah dan Penyelesaiannya*
Setiap yang baik pasti ada buruknya walaupun sebesar zarah. Begitu juga dengan pembinaan masjid yang cukup gah berdiri di atas bumi Allah yang terletak di Kampung Bukit Keteri, Perlis ini di mana terdapat masalah-masalah yang mengganggu keharmonian masjid ini. Antara masalah yang dapat saya lihat berlaku di sini ialah kehilangan kasut atau selipar para tetamu yang datang ke rumah kebesaran Allah ini. Perkara ini mungkin biasa didengari di mana-mana masjid ataupun surau. Selain itu, terdapat masalah pada sistem bunyi atau pembesar suara yang mengakibatkan sebagai contoh seruan azan tidak dapat didengari di kawasan berhampiran dan sesuatu ceramah juga agak sukar disampaikan dengan jayanya. Terdapat juga masalah kerosakan pada kemudahan-kemudahan yang disediakan di masjid seperti kerosakan pada rehal, Al-Quran yang tidak cukup muka surat dan sebagainya. Bagi saya, masalah yang paling kritikal berlaku di masjid ini ialah bilangan jemaah yang sangat kritikal pada solat-solat fardhu. Jika dihitung kembali, bilangan jemaah seramai lebih kurang 30 orang ini adalah kecil berbanding dengan jumlah jemaah pada waktu solat jumaat iaitu dianggarkan seramai 1100 orang.

Lantaran itu, ahli jawatankuasa kariah masjid tampil dengan beberapa solusi atau cara penyelesaian kepada masalah-masalah yang berlaku di masjid ini. Antaranya pihak masjid terutama imam yang bertugas sentiasa mengingatkan para jemaah supaya tidak menggunakan kasut atau selipar yang terlalu mahal ketika datang ke masjid. Ini dapat mengelakkan kerugian yang besar kepada jemaah sekiranya kasut mereka hilang. Seterusnya, ahli jawatankuasa kariah masjid yang memegang port folio sebagai biro pembangunan masjid sentiasa memantau keadaan masjid dan prasarana yang terdapat di masjid supaya sentiasa dalam keadaan yang baik dan terjaga. Mereka juga akan memanggil syarikat yang berkenaan dalam hal-hal berkaitan sistem bunyi dan sebagainya untuk menyelenggara alat-alat yang terbabit setiap 3 bulan sekali supaya sentiasa dalam keadaan yang elok. Pihak masjid juga sentiasa mencari ikhtiar dalam meningkatkan minat penduduk kampung untuk sentiasa datang ke masjid dan menunaikan solat secara berjemaah sebagai contoh memanggil ustaz-ustaz dari luar untuk menjadi imam di masjid ini pada waktu-waktu tertentu supaya para jemaah tidak bosan dengan imam yang sama sahaja.



CADANGAN

Pertama sekali saya ingin mencadangkan kepada pihak masjid supaya memperbanyakkan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik minat para remaja untuk sentiasa menyertai program yang dijalankan di masjid. Seterusnya, kitab-kitab agama di masjid ini perlu diperbanyakkan supaya dapat meningkatkan ilmu pengetahuan para jemaah yang hadir menunaikan ibadat di masjid ini. Selain itu, adakan juga kelas-kelas khas seperti kelas mengaji untuk kanak-kanak dan kelas tajwid untuk para remaja di kawasan kampung itu supaya masa terluang mereka tidak dibazirkan begitu sahaja tanpa melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak masjid supaya memperketatkan kawalan keselamatan masjid dengan mengambil pengawal keselamatan untuk menjaga masjid. Seterusnya perbanyakkan lagi pokok-pokok bunga dan wujudkan taman atau landskap yang indah supaya dapat meningkatkan lagi keserian dan kesegaran Masjid Mahmudiah ini. Saya juga ingin mencadangkan kepada ahli jawatankuasa masjid ini supaya menjalankan perniagaan sebagai contoh dengan membuka koperasi mini di hadapan masjid. Hal ini dapat meningkatkan jumlah kewangan masjid selain ianya merupakan pekerjaan yang paling baik dalam Islam iaitu berniaga.


PENUTUP
Masjid merupakan Rumah Allah yang dituntut untuk kita sentiasa mengimarahkannya. Oleh itu, sentiasalah mengambil tahu tentang masjid-masjid yang ada berdekatan dengan kawasan tempat tinggal kita dan selidiklah tentang sejarah masjid tersebut di mana ianya akan lebih mendekatkan diri kepada Pencipta kita Yang Esa. Selain daripada itu, masjid juga menjadi tempat yang menyaksikan perpaduan dan kesatuan umat Islam dalam menunaikan ibadah dan tempat untuk menuntut ilmu sebagai bekalan di hari akhirat. Akhir kata, sama-samalah kita mengimarahkan masjid supaya hidup kita sentiasa diberkati, dirahmati dan diredai oleh Allah SWT.

RUJUKAN
1)    Ustaz Hj Aziz bin Man- Imam 2 Masjid Mahmudiah
2)    Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis


LAMPIRAN
Gambar-gambar dari dalam masjid...

Tempat untuk jemaah muslimat

































Mimbar



Sistem bunyi masjid



Gambar-gambar dari luar masjid...
  

Sebahagian kerusi dan meja yang disediakan di masjid ini


 
Pintu pagar masuk ke masjid 

Kawasan tempat meletak kenderaan yang luas
di hadapan pintu pagar masjid